KEBERANIANNYA tampil berbogel dalam filem Mantra setahun lalu mendapat kecaman hebat pelbagai pihak. Teruk dia dihentam tetapi tidak sedikitpun ia menjadi kudis buat empunya diri kerana dia yakin apa yang dipersembahkan itu atas dasar profesional.
Terbaru, menerusi filem Keramat yang menjengah pawagam seluruh negara Khamis lalu, Zul Suphian sekali lagi tampil ‘daring’ dalam adegan bilik air apabila digoda adik ipar, lakonan Mon Ryanti. Biarpun masih memakai tuala pada badannya, keberanian Zul melakonkan adegan sebegini berpotensi mencetuskan kontroversi sekali lagi. Babak itu memaparkan Nazmir (Zul) yang baru selesai mandi, digoda adik iparnya yang dirasuk roh Mustika yang hidup 100 tahun lalu. Ketika menggoda, wajah Munirah acap kali bertukar rupa Mustika (Diana Amir). Ketika dihubungi, Zul tidak menafikan babak itu agak ‘berani’ tetapi tidaklah sepanas Mantra di mana ada babak Zul tanpa seurat benang di tubuhnya. Andai ia menjadi kontroversi, bekas vokalis kumpulan Handy Black ini bersedia kerana pernah berdepan senario serupa sewaktu Mantera ditayangkan. “Saya pun memilih, bukan main buat saja tanpa sebab. Saya akan bersetuju dengan permintaan pengarah dan memenuhi kehendak skrip apabila babak itu logik untuk diwujudkan. Babak goda dalam bilik air memang logik untuk filem ini. “Ketika baca skrip, saya ada berbincang dengan pengarah bagaimana mahu gambarkan perasaan Mustika yang menagih kasih Habib yang hidup sezaman dengannya. Mustika mahu menggoda Nazmir kerana muka Nazmir seiras dengan Habib. “Sebagai pelakon, saya lihat babak ini sebagai cabaran dan melakukannya atas dasar logik dan profesional. Jika tidak logik, apa hal pula saya nak tayang badan atau buat babak panas? Seperti saya katakan tadi, ini semua bersebab. Kalau suka-suka, itu sengaja mencari publisiti murahan namanya dan saya bukan begitu,” katanya. Tambah Zul, apabila bergelar pelakon, seseorang itu sewajarnya bersedia menerima apa saja cabaran termasuk yang menampakkan susuk tubuh, bersentuhan dan melakonkan adegan panas. Andai tiada keberanian itu, jangan jadi pelakon. “Pelakon kena faham apa itu kerjaya lakonan. Kita sekadar melakonkan watak dan perlu menjayakan amanah itu dengan baik. Sebagai contoh, jika seorang pelakon itu tidak mahu babak bersentuhan dengan jantina berbeza, sejauh mana persediaannya mahu jadi pelakon? Sebagai pelakon, sukar untuk kita letak limitasi kerana macam-macam boleh berlaku di lokasi penggambaran. “Pun begitu, kita sedia maklum perfileman Malaysia ada garis panduan yang perlu kita akur. Ada badan yang akan memantau dan meluluskan apa yang patut dan tidak patut dipertontonkan kepada penonton. “Bagi saya, filem kita terkawal daripada aspek kesopanan dan sensitiviti masyarakat. Kalau nak sentuh balik adegan bogel saya dalam Mantra, Lembaga Penapis Filem Malaysia (LPS) luluskan. Kita buat kerana logik dan profesional dan sudah tentu mereka ada alasan serupa kenapa ia diluluskan untuk tayangan. “Persoalan ini lebih adil jika LPF yang jawab. Saya sebagai pelakon menggalas tanggungjawab yang diamanahkan, selain memenuhi kehendak skrip serta pengarah. Kalau perkara ini jadi pertikaian, kita tidak melakukan perkara yang melampaui batas hingga boleh memesong akidah atau mencemar budaya.
“Niat pembikin filem hasilkan karya selain atas faktor keuntungan adalah untuk memberi kesedaran dan pengarahan kepada masyarakat. Apabila terjebak dengan ilmu hitam atau perkara negatif, akan berlakulah akibat yang kita paparkan dalam filem ini,” katanya. Ditanya tidakkah mungkin nanti dilabelkan sebagai pelakon simbol seks, Zul pantas menyangkalnya. Tegasnya, apabila menjadikan lakonan sebagai kerjaya, dia bersedia dengan apa saja kemungkinan serta implikasi yang bakal timbul daripada persembahannya. Bahkan andai isu ini menjadi perdebatan, dia bersedia. Ini kerana apabila bersetuju menjayakan babak berkenaan, bermakna dia bersedia menghadapi apa saja yang bakal mendatang. “Apa nak risau. Macam saya cakap tadi, saya buat atas dasar logik dan profesional. Lagipun ketika bersama Handyblack 12 tahun lalu, macam-macam sudah saya lalui. Saya menceburi bidang lakonan untuk tunjukkan kebolehan saya. Tak sangka pula apabila terbabit dalam arena ini, kredibiliti saya tercabar dan dicabar dengan adegan panas tetapi tidaklah melampaui batasan.
“Setakat ini, belum ada yang labelkan saya simbol seks. Kalau mahu gelaran itu, bagi saya kenalah berani buat melebihi apa yang saya sudah buat. “Apapun tanggapan masyarakat nanti, saya mengharapkan filem ini dapat diterima baik. Pengarah dan barisan pelakon sudah berikan yang terbaik dan kami harapkan magis berlaku terhadap Keramat,” katanya. Filem arahan Azhari Zain yang menjalani penggambaran sekitar Shah Alam, Kuala Lumpur dan Ijok, Kuala Selangor ini mengisahkan seorang lelaki bernama Habib yang hidup pada 1900, difitnah merosakkan kehormatan Mustika. Habib dipukul penduduk kampung diketuai Jabar, abang Mustika. Habib yang bukan calang-calang orang terus dipukul dan kain yang menutup wajahnya ditarik orang kampung dan berlakulah peristiwa dahsyat di mana semua penduduk kampung mati kerana cahaya terang yang terpancar daripada rupanya. Di zaman ini pula, kehidupan dua beradik Nazmir dan Nasti (Hairul Azreen) mula dihantui pelbagai kejadian pelik dan menyeramkan bermula dengan kehilangan bayi dalam kandungan Syazura (Rebecca Nur Al-Islam), isteri Nazmir. Keinginan Syazura untuk pulang ke kampung suaminya menjadikan keadaan bertambah rumit. Satu persatu rahsia terbongkar, sekali gus mendedahkan sejarah yang mengejutkan Nazmir, Syazura, Nasti dan Munirah.