AURANGABAD – Seorang wanita India menuntut cerai selepas suaminya enggan mengubah statusnya kepada berkahwin dalam laman sosial Facebook.
Wanita berusia 28 tahun itu memfailkan tuntutannya itu di mahkamah keluarga dengan berkata, dia tidak lagi mempercayai suaminya selepas dia gagal mengumumkan perkahwinan mereka dalam laman web itu.
Perkahwinan pasangan Telugu yang diatur oleh keluarga itu berlangsung dua bulan lalu dan kes itu difailkan di mahkamah di Aurangabad, tempat wanita itu menetap.
Menurut akhbar Deccan Chronicle, suaminya memberitahu mahkamah, dia terlupa untuk mengemaskinikan statusnya tetapi hakim memberi kedua-dua pihak masa enam bulan untuk menjalani kaunseling.
Bercakap kepada akhbar yang berpejabat di India itu, peguam, Subash berkata: “Saya mengetahui mengenai kes itu daripada majistret di Aurangabad.
Si suami yang berasal dari Hyderabad memberitahu hakim bahawa dia terlalu sibuk dengan keluarganya dan perniagaan perabotnya selepas berkahwin sehingga tidak ada masa untuk membuka Facebook atau menukar statusnya.
“Kini dia bersedia berbuat demikian malah sanggup menutup akaunnya. Bagaimanapun, wanita itu tidak berminat untuk meneruskan perkahwinan itu dan berkata, suaminya mungkin berlaku curang di belakangnya.
Walaupun tidak banyak kes perceraian membabitkan pertukaran status hubungan, Facebook semakin kerap digunakan sebagai sumber bukti dalam kes perceraian, menurut peguam.
Laman sosial itu disebut sebagai alasan untuk sepertiga daripada kes perceraian tahun lalu dengan tingkah laku buruk menjadi faktor, kata syarikat guaman, Divorce-Online.
Menurutnya, terdapat peningkatan sebanyak 50 peratus dalam jumlah tuntutan cerai bersabit tingkah laku mengandungi perkataan ‘Facebook’ sepanjang dua tahun lalu.
Pengarah Urusan Divorce-Online, Mark Keenan berkata: “Pengguna menggunakan facebook untuk menghubungi bekas kekasih. Walaupun mulanya berniat baik, tetapi akhirnya akan mencetuskan masalah.
Sekiranya ada orang yang mahu menjalinkan hubungan sulit atau main kayu tiga dengan jantina bertentangan, ia tempat paling baik.” – DM