KABUL - Pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) dan Nato mengambil tindakan segera untuk memohon maaf atas tindakan mereka membuang dan membakar beberapa naskhah al-Quran sementara beratus-ratus rakyat Afghanistan berhimpun di pekarangan pangkalan tentera udara Bagram dekat sini, hari ini.
Sementara butiran mengenai kejadian itu belum jelas, pegawai tertinggi tentera AS dan Nato di Afghanistan menawarkan permintaan maaf dan menjanjikan satu siasatan dalam usaha mengawal kemarahan.
AS menggerakkan serangan udara ke atas negara itu pada 2001 dan mengekalkan pasukan tenteranya selepas pemerintahan Taliban digulingkan.
"Saya memberi anda jaminan. Saya beri jaminan, ini bukan sesuatu yang disengajakan," kata Jeneral John Allen dalam satu kenyataan, demikian menurut portal Guardian dari UK, hari ini.
Beberapa naskhah al-Quran yang diambil dari penjara di pangkalan udara itu diserahkan untuk tujuan pembakaran lewat semalam.
Tindakan itu disedari oleh pekerja-pekerja Afghanistan, kata pegawai-pegawai negara itu dan Barat.
Membakar dokumen-dokumen buangan adalah satu perkara yang biasa disaksikan di pangkalan-pangkalan udara di Afghanistan.
Ketua polis, Bekzad berkata, beberapa naskhah al-Quran juga dibuang bersama banyak kertas yang sudah tidak digunakan lagi.
Seorang jurucakap bagi pasukan perikatan, Lef Kol Jimmie Cummings berkata, kitab suci itu telah tersilap dihantar, tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
Ahmad Zaki Zahed, ketua majlis perbandaran Parwan berkata, sebanyak 17 naskhah al-Quran dapat diselamatkan.
Sesetengah mereka yang berhimpun di pekarangan pangkalan udara membawa senapang memburu yang lama, selain ada yang menggunakan lastik dan membaling batu ke arah pangkalan udara selama beberapa jam. Malah, mereka juga melaungkan slogan "jahanam Amerika".
Kumpulan yang hadir dianggarkan antara 2,000 dan 3,000 orang dan pihak polis diletakkan di sepanjang jalan menuju ke arah pangkalan udara itu, demikian menurut ketua polis wilayah Parwan, Jeneral Mohammad Akram Bekzad.
Tindakan merosakkan atau membakar kitab suci al-Quran satu isu yang sangat sensitif di Afghanistan dan kadangkala mencetuskan keganasan dan adakalanya membawa kepada rusuhan maut pada masa-masa lalu.
Tindakan seorang pastor membawa al-Quran di AS tahun lalu turut mencetuskan kemarahan dan keganasan di Afghanistan.