KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, isteri hamil empat bulan dan saya bakal menimang zuriat pertama,” kata penyanyi era 80-an, Shidee, 53, atau nama sebenarnya Rashid Abdul Wahab.
Shidee ketika ditemui di Balai Berita, Jalan Riong, di sini, semalam, berkata, Oktober tahun lalu isterinya, Siti Fairunnisa Aziz, 24, muntah-muntah sebelum dibawa ke klinik berhampiran rumahnya di Bukit Beruntung untuk pemeriksaan.
“Selepas empat kali menjalankan pemeriksaan, doktor memaklumkan isteri mengandung dan kini genap empat bulan dia hamil,” katanya.
Menurutnya, kandungan isterinya belum dipastikan sama ada lelaki atau perempuan, namun dia bersyukur dengan perkhabaran gembira itu selain tidak sabar menjadi bapa.
“Saya sangat gembira dengan rezeki ini. Tiada apa lagi ingin saya kecapi melainkan anak yang juga zuriat selepas saya sudah tiada,” katanya.
Kata Shidee, isterinya dijangka bersalin pada Jun depan dan dia kini sibuk membuat persediaan daripada segi kewangan, perubatan dan pakaian.
“Saya menganggap ini tuah berganda selepas isu bersama ibu mentua selesai, malah hubungan kami bertambah baik. Selain itu, rumah tangga saya bahagia tambahan pula isteri tidak mempunyai banyak kerenah,” katanya.
Shidee sebelum ini mencetuskan kontroversi panas pada 1 Februari 2010 apabila dia yang bernikah dengan Siti Fairunnisa tidak mendapat restu daripada ibu mentuanya, Jamaliah Hassan, 48.
Selain itu, Shidee dikatakan terlebih dulu menjalinkan cinta bersama Jamaliah namun dalam diam-diam memendam perasaan terhadap Siti Fairunniza sebelum mereka bernikah di Pejabat Agama Islam Hulu Selangor.
“Perkara lepas usah dikenang, ia sejarah hidup saya. Sekarang ini kami sekeluarga sudah bersatu, malah ibu mentua juga gembira selepas mendapat tahu anaknya kini hamil,” katanya.