IBU Orang Utan yang ketakutan memeluk erat anaknya.
Nasib dua ekor Orang Utan ini seperti telur di hujung tanduk apabila dikelilingi oleh sekumpulan pemburu lelaki yang bakal mendapat upah membunuh haiwan itu daripada syarikat ladang kelapa sawit.
Namun begitu, nasib masih menyebelahi haiwan itu apabila kumpulan penyelamat haiwan yang berpangkalan di Britain, Four Paws, tiba tepat pada masanya dan menyelamatkan mereka.
Orang Utan betina yang hamil dan anaknya, juga betina, ditangkap dan dilepaskan di satu kawasan terpencil.
Sebelum itu peranti kecil diletakkan pada haiwan itu untuk memastikan mereka boleh dijejak dan selamat.
Pakar primat Four Paws, Dr Signe Preuschoft berkata, “Kami tiba tepat pada masanya. Lewat beberapa minit saja, Orang Utan itu dan anaknya mungkin dibunuh.”
“Kami lihat mereka dikelilingi sekumpulan lelaki muda dan sudah tentu haiwan itu ketakutan.
“Kumpulan lelaki itu pula gembira kerana mereka akan mendapat upah kerana menangkap dan membunuh haiwan itu.
“Kami tidak boleh membenarkan haiwan-haiwan itu dibunuh,” katanya.
Sebelum menyelamatkan ibu dan anak Orang Utan itu, anggota Four Paws sedang mencari Orang Utan yang pernah diselamatkan daripada dibunuh di Pulau Borneo di bahagian Indonesia, tapi tidak menemuinya.
Penebangan hutan telah menghapuskan habitat Orang Utan dan bilangan mereka telah merosot daripada 250,000 beberapa dekad dahulu kepada hanya 50,000 yang tinggal di habitat semula jadi mereka.
Bukan saja disebabkan penebangan kayu hutan yang menjadi ancaman kepada mereka, malah sejak beberapa tahun lalu, Orang Utan sengaja dibunuh.
Minyak sawit digunakan dalam beratus-ratus produk, daripada pembuatan coklat hingga ke kerepek kentang dan harganya yang rendah menyebabkan banyak hutan ditebang dan habitat mereka dimusnahkan untuk dijadikan ladang kelapa sawit.
Sesetengah syarikat ladang kelapa sawit menganggap Orang Utan sebagai haiwan perosak yang mengancam perniagaan mereka dan telah meletakkan harga untuk haiwan itu dibunuh.
Eksekutif syarikat dilaporkan memberi upah hingga 70 pound (RM335) untuk setiap Orang Utan yang dijumpai di ladang, dibunuh.
Berita itu pada mulanya dinafikan tetapi bukti pembunuhan itu tersebar September lalu apabila lubang di mana tulang haiwan itu ditemui oleh anggota penyiasat.
Jrucakap Four Paws Britain berkata, “Membunuh Orang Utan adalah satu kesalahan di Indonesia tetapi mereka kurang penguasaan.”
“Tetapi sejak dua bulan lalu, 10 lagi tangkapan dibuat termasuk seorang pengurus kanan ladang di mana kubur yang paling dahsyat, ditemui,” katanya. - DailyMail
dari harian metro