KISAH percintaan yang terjalin antara pelakon Fasha Sandha, 28, dan Rizal Ashram Ramli atau Jejai, 35, sememangnya sudah pun diketahui peminat. Biarpun hubungan mereka ada pasang surutnya dan pernah putus sebelum ini, tetapi Fasha kini dikatakan sedang bahagia bersama kekasihnya.
Memandangkan usia percintaan mereka yang sudah mencecah dua tahun, kini khabar angin bertiup kencang mengatakan pasangan tersebut bakal berkahwin dalam tempoh terdekat ini sehingga pelbagai spekulasi dibuat oleh segelintir pihak.
Fasha dan Jejai dikatakan akan mendirikan rumah tangga pada bulan Mac sempena sambutan ulang tahun kelahiran pelakon berkenaan pada 28 Mac ini setelah gambarnya memakai gaun pengantin di sebuah butik tersebar di Internet.
Bagaimanapun, beberapa hari lalu tersebar pula gosip di beberapa laman blog hiburan tempatan mendakwa kononnya kedua-duanya sudah menjadi pasangan suami isteri setelah bernikah di selatan Thailand!
Berkesempatan bertemu pelakon yang popular menerusi drama bersiri Cinta Elysa itu pada majlis pengumuman Top 5 Anugerah Bintang Popular 2011 (ABP 2011) baru-baru ini, Fasha menitipkan jawapan tentang semua kisah hangat yang membabitkan dirinya itu.
Kosmo!: Apa perkembangan terbaharu Fasha sekarang ini?
FASHA: Boleh dikatakan jadual kerjaya saya agak sibuk sehingga bulan Mei ini. Yang terbaharu, saya sedang menjalani penggambaran filem Penanggal yang diarahkan oleh Ellie Suriati Omar.
Kemudian saya akan terbabit pula dengan drama yang berjudul Seindah Sakura slot Akasia di TV3 sebanyak 24 episod dan sepanjang bulan Mac nanti saya akan menjalani penggambaran di Paris, Perancis.
Betul ke desas-desus Fasha dan Jejai akan mendirikan rumah tangga pada bulan Mac ini?
Sebenarnya perkara tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana pada masa itu saya memang akan sibuk dengan penggambaran. Jadi, saya menafikan bahawa kami berdua akan berkahwin sempena hari jadi saya nanti.
Bagaimana pula dengan dakwaan Fasha dan Jejai sudah berkahwin di selatan Thailand ?
Itu pun tidak benar kerana kami berdua memang belum mendirikan rumah tangga lagi dan buat apa kami hendak bernikah di sana. Saya menganggap semua cerita yang timbul itu adalah sekadar spekulasi semata-mata.
Saya sedar dalam usia yang sudah mencecah 28 tahun ini, memang ramai peminat yang mahukan saya segera berkahwin. Mungkin itu adalah salah satu punca yang menyebabkan cerita saya akan menamatkan zaman bujang selalu tersebar.
Adakah Fasha dan Jejai sememangnya sudah merancang untuk berkahwin pada tahun ini?
Buat masa ini saya tidak mahu lagi mengeluarkan sebarang kenyataan, tetapi saya akui sudah bersedia untuk bergelar seorang isteri. Bila sudah tiba masanya untuk berkahwin, saya akan umumkan kepada semua orang.
Adakah Fasha akan membuat satu sidang akhbar khas untuk umumkan tarikh perkahwinan nanti?
Saya tidak bercadang untuk berbuat demikian kerana merasakan ia tidak perlu. Apabila saya umumkan tarikh perkahwinan kami berdua, saya akan menghubungi semua rakan-rakan media yang rapat dengan saya sama ada melalui telefon atau khidmat pesanan ringkas.
Bagaimana pula dengan perkembangan bisnes Fasha sekarang ini?
Sudah tentu saya sangat bersyukur kerana perniagaan salun Chinta saya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai. Biasanya kalau tidak sibuk dengan jadual penggambaran, saya akan ke salun empat kali seminggu untuk memantaunya.
Ada perancangan untuk membuka cawangan pada masa akan datang?
Sebenarnya saya pernah berangan-angan untuk membuka cawangan di Johor Bahru. Ia adalah lokasi yang cukup istimewa kerana saya dilahirkan di situ dan mendapati peminat saya yang paling ramai adalah dari Johor Bahru.
Boleh komen sedikit tentang pencalonan anda untuk Anugerah Bintang Popular 2011 ini?
Saya berterima kasih kepada semua peminat yang tidak putus-putus menyokong saya selama ini. Pastinya saya tidak sangka akan tercalon buat kali ketujuh untuk kategori Pelakon TV Wanita Popular memandangkan semakin ramai artis baharu yang muncul sekarang ini.
Walaupun sering dikaitkan dengan pelbagai cerita kontroversi, tetapi peminat sekarang sudah pandai untuk menilai dan mereka tetap memberikan sokongan untuk saya terus berjaya dalam bidang saya ceburi sekarang ini.
dari kosmo